About Us   l   Latest News   l   Our Showroom   l   FAQs   l   Contact Us  l   Customer Care  l   Awards
Satria replacement
7 Sep 2008

Daya pecut enjin sport dengan dua pilihan warna menarik untuk golongan yang pentingkan keselesaan

PROTON Waja memang dekat di hati sebahagian besar rakyat Malaysia. Ia adalah kereta sedan eksekutif yang paling mampu dimiliki. Justeru, sebarang perkembangan terhadap model keluaran Proton pasti ditunggu ramai.

Sejak diperkenalkan pada 2000, tidak banyak perubahan ditampilkan pada model Waja, melainkan beberapa perubahan kecil pada edisi keluaran membabitkan penampilan warna dan rim aloi.

Sesudah enam tahun, Waja kekal dengan wajah asalnya. Dalam sesetengah keadaan, ia memang baik kepada pengguna Waja kerana kereta mereka masih kekal relevan dan rasa seperti kereta mereka masih baru, tetapi dari segi standard industri, tempoh enam tahun tanpa perubahan memanglah lama kerana pelbagai pengeluar lain biasanya membuat perubahan atau lebih dikenali sebagai face lift setiap dua tahun setengah dan perubahan model sepenuhnya setiap lima hingga enam tahun.

 
Ruang Pemanduan luas dan selesa
 
System audio mesra pengguna
 

Bagaimanapun, perubahan memang ada pada model gemilang yang hingga kini menjadi antara model terlaris Proton. Selama ini, Proton Waja dijana enjin 1.6 liter 4G18 Mitsubishi yang terkenal dengan ciri penjimatan bahan api dan kemantapan pengendalian hasil suntikan teknologi sistem gantungan Lotus.

Kini, Waja tampil dengan pembaharuan iaitu menerusi enjin CamPro yang dikeluarkan sendiri oleh Proton. Enjin Campro pada asalnya memang dikeluarkan untuk Waja, tetapi model pertama yang mendapat jantung CamPro ialah GEN.2.

Panel meter beralas krom

DARIPADA perspektif rekaan, hampir semua bahagian luaran Waja CamPro sama dengan varian yang menggunakan enjin Mitsubihsi 4G18. Tetapi, beberapa perubahan estetika ditampilkan di bahagian dalaman. Paling ketara ialah pada papan pemuka yang menampilkan panel meter beralas krom yang tambah menyerlah dengan adanya kemasan hitam pada tapak meter.

Perubahan lain yang agak ketara ialah kekisi penyaman udara berbentuk bulat berbanding kotak segi empat sama sebelumnya. Waja CamPro turut menampilkan kelainan dalam sistem audio yang mana pemain stereo boleh memainkan cakera padat, MP3 dan kaset. Kelainan lain pada model ini ialah warna Burgundy dan kemasan kulit yang dipadankan dengan corak menawan pada kerusi, berbanding fabrik sebelumnya.

Sementara di bahagian dalam bonet, tidak ada perubahan ketara melainkan kejutan betapa kecilnya enjin CamPro 1.6 liter dalam ruang enjin Waja yang luas.

CamPro diperkenalkan pada model GEN.2 pada 2004. Bagaimanapun, hingga kini enjin CamPro termasuk pada Waja ini masih lagi Naturally Aspirated (NA), iaitu enjin biasa dan tidak membabitkan teknologi termaju seperti profil aci engkol atau injap berjujukan (seangkatan dengan VTEC atau VVT) walaupun namanya CamPro (Cam Profile Switching).

Memecut 190km sejam

WAJA CamPro didatangkan dalam dua varian iaitu lima kelajuan manual atau empat kelajuan automatik. Enjin empat selinder S4PH 16 injap suntikan berbilang punca (MPI) menghasilkan kuasa sebanyak 110 bhp (82kW) dan tork 148Nm. Angka ini adalah pembaikan daripada enjin 4G18 yang dikatakan hanya menghasilkan 102 bhp dan 140Nm.

Mengikut data spesifikasi yang disediakan, Waja CamPro boleh mencecah kelajuan maksimum 190km sejam (manual) dan 185 km sejam (auto), dengan pecutan dari pegun ke 100 km sejam, masing-masing dalam 10.8 saat dan 13.5 saat.

Dalam aspek pemanduan dan kendalian, selepas membuat beberapa pusingan di litar ujian Proton, Shah Alam, didapati Waja CamPro terasa agak berat dan pikap terasa agak lembap. Waja CamPro juga agak bising berbanding varian sebelumnya, tetapi kita perlu faham bahawa CamPro ialah enjin sport.

Dari segi segmentasi, GEN.2 dan Waja adalah berbeza. Sementara yang satu lebih kepada golongan muda atau berjiwa muda, Waja lebih digemari mereka yang berkeluarga atau mereka yang sudah stabil dalam hidup. Dari segi berat, Waja hanya lebih 22 kg berat berbanding GEN.2. Tetapi mengapa CamPro di Waja terasa berat?

Jawapannya terletak pada cara atau karektor pemanduan. Beberapa pengubahsuaian dari segi `tuning’ telah dibuat terhadap Waja CamPro. Ini bagi memastikan ia kekal dengan matlamatnya iaitu sebagai kereta keluarga yang luas dan menjimatkan minyak. Justeru, cara pemanduannya juga berbeza.

Lebih ringan dan lancar

UNTUK mendapatkan prestasi optimum dan pemanduan lancar, seluruh tork (kilas) enjin ini perlu dikeluarkan di peringkat awal pemanduan. Tork ialah tenaga yang menggerakkan objek daripada kedudukan pegun, sementara bhp (kuasa kuda) ialah tenaga untuk terus menolak jentera terus berjalan.

Cara terbaik menikmati kuasa optimum CamPro ialah pijak injak minyak ke lantai dan biarkan enjin berpusing sehingga 4,000rpm, iaitu ketika seluruh tork enjin akan dikeluarkan. Selepas itu, kita dapati bahawa pertukaran gear dan pemanduan terasa lebih ringan dan lancar.

Akan tetapi, corak pemanduan sebegini bukan boleh diamalkan selalu. Apabila memandu kereta automatik umpamanya, kita cenderung untuk pergi secara `steady' dengan injak minyak dipijak sekadar yang perlu. Jika memandu di tengah bandar, bagaimana memijak minyak ke lantai sebab 15 meter di depan kita perlu membrek, sedangkan kereta terus menerkam untuk laju. Ini sudah tentu lebih memakan petrol.

Namun demikian, bagi pengguna biasa yang tidak mementingkan kepantasan dan pikap, Waja CamPro ialah kereta sedan eksekutif pada harga paling patut dan termampu di pasaran. Waja akan terus menjadi pilihan pengguna seperti ini.

Ini terlihat menerusi rekod jualan Waja sehingga kini. Sejak dilancarkan pada 2000, lebih 230,000 unit Waja telah dijual dan dengan adanya Waja CamPro yang menampilkan pelbagai ciri inovatif, jualan pasti meningkat - sepadan dengan evolusi zaman, Waja juga mungkin berubah wajah suatu hari nanti.



Copyright © 2008 Pelantar Sistem (M) Sdn Bhd (Authorised Dealer).